Tahir Jalaluddin Al-Azhari | Tokoh Inspiratif

Tahir Jalaluddin Al-Azhari

Tahir Jalaluddin Al-Azhari
Syeikh Muhammad Tahir bin Muhammad bin Jalaluddin Ahmad bin Abdullah al-Minangkabawi al-Azhari lahir di Cangking, Agam, Sumatera Barat pada hari Selasa, 4 Ramadan 1286 H/8 Disember 1869 M. Meninggal dunia di Kuala Kangsar, Perak, Malaysia sesudah sembahyang Subuh pada hari Jumaat, 22 Rabiulawal 1376 H/26 Oktober 1956 M. Syeikh Tahir dalam catatannya menyebut tanggal lahirnya 4 Ramadan 1286 H/8 Disember 1869 M tetapi dalam buku Ulama Silam Dalam Kenangan, halaman 20, dinyatakan bahwa ia lahir pada 7 November 1869. Tanggal yang diberikan ini adalah bertentangan dengan catatan syeikh Tahir sendiri. Tanggal 7 November 1869 bersamaan dengan 2 Syaban 1286 Hijrah, hari Sabtu, bukannya bersamaan 4 Ramadan 1286, hari Selasa.

Pendidikan
Pada tahun 1879, dalam usia 10 tahun ia ke Mekkah menyusul sepupunya, Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif. Sampai di Mekkah ia tinggal bersama Syeikh Muhammad Saleh al-Kurdi (Mertua Ahmad Khatib Al-Minangkabawy). Ia mengaji al-Quran kepada Syeikh Abdul Haq di madrasah Asy-Syaikh Rahmatullah serta belajar kitab kepada Syeikh Umar Syatha, Syeikh Muhammad al-Khaiyath dan Syeikh Ahmad Khatib Al-Minangkabawi. Syeikh Ahmad al-Fathani juga termasuk salah seorang guru Syeikh Tahir Jalaluddin. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani pulang dari Mesir dan ke Mekkah pada tahun 1882, ia memengaruhi pemuda-pemuda Melayu dan murid-muridnya di Mekkah mengenai kelebihan pendidikan di Masjid Al-Azhar, Mesir. Maka pemuda Melayu peringkat pertama yang dikirim oleh Syeikh Ahmad al-Fathani belajar di Mesir ada beberapa orang, diantaranya termasuklah Syeikh Tahir Jalaluddin. Syeikh Ahmad Al-Fathani memberikan kepercayaan kepadanya dalam kepengurusan putera-putera Di Raja Riau yang ia kirim ke Mesir, termasuk juga anak Syeikh Ahmad Al-Fathani yang bernama Haji Ismail, Muhammad Zain bin Ahmad Kelantan dan lain-lain. Dalam suratnya Syeikh Ahmad Al-Fathani menyebut Syeikh Tahir Jalaluddin dengan panggilan waladuna artinya "anak kami". Sebaliknya Syeikh Tahir Jalaluddin menyebut Syeikh Ahmad Al-Fathani dengan panggilan waliduna artinya "ayah kami".

Pernikahan
Syeikh Tahir Jalaluddin menikah beberapa kali. Catatan ia sendiri dinyatakan bahawa: menikah di Mekah pada hari Sabtu, 26 Zulkaedah 1305 H/4 Agustus 1888 M dengan Aisyah binti Syeikh Muhammad bin Syeikh Ismail al-Khalidi. Dinikahkan oleh Sayid Bakri Syatha yang menerima wakil daripada Syeikh Ismail bin Syeikh Muhammad di hadapan Sayid Umar Syatha, Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail, Syeikh Muhammad Saleh al-Kurdi, Syeikh Ahmad Khatib Al-Minangkabawi dan Syeikh Ismail bin Syeikh Muhammad, saudara Aisyah. Perkawinan yang pertama ini adalah dengan cucu Syeikh Ismail Al-Khalidi Al-Minankabawi, ulama besar yang terkenal dan penyebar Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah. Kemudian Syeikh Tahir Jalaluddin menikah lagi dengan Kaltsum binti Haji Ibrahim, pada malam Jumaat, 9 Rajab 1310 H/27 Januari 1893 M. Selanjutnya pada malam Jumaat 13 Ramadan 1310 H/31 Maret 1893 M, menikah pula dengan Jamilah binti Haji Abdul Karim. Pada malam Khamis, 20 Jamadilawal 1317 H/23 September 1899 M menikah dengan Aisyah binti Haji Mustafa bin Datuk Menteri Sati yang dihadiri oleh Syeikh Muhammad Al-Khaiyath, Haji Hasyim Kelantan dan lain-lain. Selain yang tersebut masih ada lagi.

Pengembaraan
Syeikh Tahir juga mencatat pengembaraan dan pengalamannya di beberapa kerajaan Nusantara. Pertama kali menginjakkan kakinya di Singapura pada 20 Mei 1888. Pada 8 September 1892 pergi ke Pulau Penyengat, Riau. Di sana ia berjumpa dengan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minangkabawi. Raja Muhammad Tahir Hakim bin Al-Marhum Mursyid, hakim Riau, menyarankan supaya Syeikh Tahir tidak meneruskan perjalanan karena cerdik pandai Riau bermaksud mempelajari kitab falak berjudul At-Thal'us Said, maka ia tinggal di Pulau Penyengat hingga bulan Rabiulakhir. Dari Penyengat, Syeikh Tahir kembali ke Singapura. Kemudian dengan menumpang sebuah kapal layar ia menuju ke Siantan, Kepulauan Anambas bersama Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minangkabawi. Karena ketika itu kepulauan tersebut diserang wabah penyakit biri-biri, mereka terpaksa pulang ke Singapura pada bulan Januari 1899 Masihi, dengan menumpang sebuah tongkang yang membawa kelapa kering (kopra).

Pada 24 November 1903, Syeikh Tahir ke Surabaya dan singgah di Buleleng dan Ampenan, Bali. Pada 28 November 1903, ia sampai di Pulau Sumbawa. Pada 13 Ramadan 1321 H/2 Disember 1903 M, Syeikh Tahir Jalaluddin berhenti di rumah Tuan Qadhi Haji Muhammad Saleh. Sultan Muhammad Jalaluddin ibni Sultan Muhammad Daimuddin, Sumbawa, meminta supaya ia tinggal di Sumbawa. Pada 7 Zulhijjah 1321 Hijrah/23 Februari 1904 Masihi, Syeikh Tahir dari Sumbawa menuju ke Bima. Tiba di Bima pada 25 Februari ia berhenti di rumah Imam Haji Thalib dan mengadap Sultan Ibrahim bin Sultan Abdullah bin Sultan Ismail bin Sultan Abdul Hamid. Pada 16 Zulhijjah 1321 Hijrah/3 Maret 1904 Masihi, Syeikh Tahir Jalaluddin dari Bima menuju ke Makasar. Sampai di Makasar pada 16 Maret 1904 ia berhenti di rumah Haji Ahmad Rifa'ie dan berkenalan dengan Haji Muhammad Saleh Palembang dan Raden Haji Abdul Ghani Palembang. Pada 17 Maret ia ke Gowa menemui Haji Daud Daeng Manabi' bin Yusuf. Kemudian menghadap Sultan Husein bin Sultan Idris bin Sultan Abdul Qadir bin Al-Amir Mahmud Gowa.

Tulisan
1. Irsyadul Khaidhi li `Ilmil Faraidhi, penggal yang pertama, diselesaikan pada hari Khamis, 12 Jamadilakhir 1348 Hijrah. Cetakan pertama, Mathba'ah Al-Ahmadiah 82 Jalan Sultan, Singapura, 10 Rejab 1348 Hijrah/11 Disember 1929 Masihi. Kandungannya membicarakan masalah membahagi pusaka. Penggal yang kedua, diselesaikan pada hari Jumaat, 9 Safar 1371 Hijrah. Cetakan pertama, oleh percetakan yang sama, 1371 Hijrah/1952 Masihi.

2. Huraian Yang Membakar, Taman Persuraian Haji, diselesaikan pada tahun 1349 Hijrah. Kandungannya merupakan polemik, membantah karangan Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar yang berjudul Taman Persuraian. Pokok perbicaraan ialah sembahyang sunat sebelum sembahyang Jumaat. Kitab di atas dibantah lagi oleh Haji Abu Bakar Muar dengan karangannya Taufan Yang Memalui Atas Huraian Haji Thahir Al-Minkabawi, ditulis pada 10 Rabiulawal 1351 Hijrah/1932 Masihi.

3. Perisai Orang Beriman Pengisai Mazhab Orang Qadyan, diselesaikan pada 4 Rabiulawal 1349 Hijrah/30 Julai 1930 Masihi, di Singapura. Dicatatkan umur pengarang 62 tahun Qamariyah, 6 bulan genap. Atau 60 tahun Syamsiyah, 7 bulan, 23 hari. Kandungannya membantah ajaran Qadyani. Cetakan pertama oleh Setia Press, 32 Lorong 21 Geylang Singapura.

4. Ithaful Murid fi Ahkamit Tajwid, tanpa disebut tarikh selesai penulisan. Kandungan pelajaran tajwid al-Quran. Cetakan yang ketiga, Jelutong Press, Pulau Pinang, 1349 Hijrah/1931 Masihi. Cetakan yang keempat, Mathba'ah Persama, Pulau Pinang, 1352 Hijrah/1933 Masihi.

5. Ta'yidu Tazkirah Mutba'is Sunnah fir Raddi `alal Qa-ili bi Saniyati Raka'ataini Qablal Jum'ah, dalam bahasa Arab. Diselesaikan di Pulau Pinang pada 12 Syawal 1349 H. Kandungannya membahas perkara khilafiyah sembahyang sunat dua rakaat sebelum sembahyang Jumaat. Dicetak oleh The United Press, 55 Achen Street, Penang, 1372 Hijrah/1953 Masihi.

6. Natijatul `Umur, diselesaikan: 1355 Hijrah/1936 Masihi. Kandungannya mendapatkan perkiraan/perhitungan pada taqwim tarikh hijri dan miladi, arah Kiblat dan waktu-waktu sembahyang yang boleh digunakan selama hidup. Dicetak oleh Penang Printer Press, Pulau Pinang, 1355 Hijrah/ 1936 Masihi.

7. Jadawil Pati Kiraan Pada Menyatakan Waktu Yang Lima Dan Hala Qiblat Dengan Logharitma, diselesaikan 15 Syaaban 1356 Hijrah. Kandungan perhitungan falakiyah. Pada halaman 13 ada dicatat bahawa gurunya al-'Allamah Syeikh Muhammad bin Yusuf al-Khaiyath, ulama al-Haramul Makki yang mengajar berbagai-bagai ilmu di Masjidil Haram khusus `ilmul hisab dan `ilmul falak. Kemudian ulama tersebut dilantik menjadi Syeikh al-Islam Kedah yang meninggal dunia di Batuban, Pulau Pinang, pada malam Rabu, 17 Rejab 1333 Hijrah. Cetakan yang pertama oleh Al-Ahmadiah Press Singapura, 1357 Hijrah/1938 Masihi. Dicetak dalam bentuk kombinasi Melayu/Jawi dan Latin/Rumi.

8. Nukhbatut Taqrirat fi Hisabil Auqat wa Sammatil Qiblat bil Lugharitmat, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Kandungannya membicarakan kaedah ilmu falak. Huraiannya ditulis dalam bahasa Arab sedang jadwal yang menggunakan angka ditulis dalam angka Rumi/Latin. Cetakan yang pertama, Royal Press, 745 North Bird Road, Singapura, 1356 Hijrah/1937 Masihi.

9. Al-Qiblah fi Nushushi `Ulamais Syafi'iyah fi ma Yata'allaqu bi Istiqbalil Qiblatis Syar'iyah Manqulah min Ummuhat Kutubil Mazhab, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungannya membicarakan falak. Dicetak oleh Mathba'ah Az-Zainiyah, Taiping 1951, atas kebenaran Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Perak, No. (18) dlm. Pk. Red. Dept 110/50, bertarikh 21 September 1950. Terdapat lapan nama ulama yang mengesahkan, ialah Haji Abdullah Pak Him, Mufti Pulau Pinang, Haji Ahmad bin Tuan Husein Kedah, Guru Besar Sekolah Arab Pokok Sena Seberang Perai, Haji Syihabuddin bin Abdus Shamad Sungai Dua, Haji Hamzah bin Haji Muhammad Ali Pak Jak Sung, Seberang Perai, Haji Muhammad Saleh al-Masri, Sekolah Arab Bukit Martajam, Haji Muhammad Sa'ad al-Masri, Sekolah Arab Bukit Martajam, Abdul Halim Utsman Mudir Al-Ma'had al-Mahmud Alor Setar dan Muhammad Nawawi bin Muhammad Tahir, Guru Agama Perak.